Cari Berita Menarik Di sini!

Monday, October 12, 2009

Uniknya Malaysia - by Aminiskandar.com

Malaysia adalah sebuah negara yang unik. Keunikan Malaysia tidak dapat dinafikan oleh mana-mana negara di dunia ini. Selain daripada rakyatnya yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa, Malaysia hanya diperintah oleh satu parti semenjak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Terbaru, Malaysia sekali lagi melakar sejarah apabila seorang pemimpin yang pernah dijatuhkan hukuman oleh partinya kerana didapati bersalah di atas amalan rasuah politik dipertahankan oleh perdana menteri secara terbuka.

Perdana menteri mempertahankan pemimpin tersebut oleh kerana ingin memastikan partinya memenangi pilihanraya kecil (PRK) di selatan Semenanjung Malaysia setelah berkali-kali parti yang diperintahnya tumpas ketangan pakatan pembangkang dalam PRK.

Untuk menghalalkan tindakan partinya meletakkan pemimpin tersebut sebagai calon PRK, perdana menteri telah mencipta satu istilah baru yang dinamakan “kesalahan teknikal” ataupun “technical offense”.

Kata perdana menteri, kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin tersebut hanyalah kesalahan teknikal.

Inilah kehebatan Malaysia.

Di Israel, negara yang paling dibenci oleh rakyat Malaysia dan satu-satunya negara yang tidak dibenarkan oleh passport Malaysia untuk masuk (kerana Malaysia tidak mengiktiraf penubuhan negara Israel dan menyokong perjuangan rakyat Palestin) perdana menterinya, Ehud Olmert terpaksa meletakkan jawatan kerana menghadapi tuduhan rasuah.

Rasuah yang dituduh kepada Ehud Olmert tidaklah sehebat kes PKFZ, akan tetapi beliau tetap meletakkan jawatan kerana ditekan oleh rakyat negara tersebut yang mahukan pemimpin mereka bersih dan kelihatan bersih.

Di Malaysia, apabila laman web Malaysia Today mendedahkan mengenai kertas mesyuarat kabinet berkenaan dengan PKFZ, yang disiasat bukannya isi kandungannya tetapi pihak yang membocorkan kertas mesyuarat tersebut. Begitulah hebatnya Malaysia. Orang yang bersalah tidak disiasat. Yang menjadi mangsa adalah orang yang membocorkan kesalahan tersebut.

Orang Melayu dan Rasuah

Dikalangan rakyat Malaysia, terutamanya bagi orang-orang Melayu yang beragama Islam, rasuah bukanlah satu kesalahan yang besar. Ianya boleh disucikan cukup dengan apabila perlaku rasuah tersebut pergi menunaikan umrah atau naik haji.

Sewaktu saya masih lagi mahasiswa dan pada ketika itu terlibat dengan aktivisme, pernah sekali saya timbulkan isu-isu rasuah pemimpin negara kepada saudara-mara di kampung.

Saya telah dimarah oleh seorang makcik saya yang mengatakan, “Kalau kau jadi perdana menteri pun kau akan ambik jugak. Biarlah pemimpin yang ada sekarang nak ambik sikit!”

Pada ketika itu barulah saya sedar mengapa parti pemerintah mampu terus bertahan walaupun sudah begitu lama berkuasa.

Orang-orang Melayu terutamanya dari generasi sebelum merdeka dan generasi pertama selepas merdeka, memberikan sokongan padu kepada mereka sehinggakan rasuah atau penyelewengan kuasa tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan.

Sikap dan pandangan seperti ini bukanlah hanya dimiliki oleh penyokong-penyokong parti pemerintah yang berideologikan “nationalist”, ia turut dikongsi oleh sebahagian penyokong-penyokong parti Islam yang kini telah memerintah beberapa buah negeri selepas pilihanraya umum (PRU) 8 Mac 2008.

Lihatlah selepas 8 Mac 2008. Berapa banyak demonstrasi yang dianjurkan oleh sayap pemuda parti tersebut untuk menentang konsert berbanding dengan menentang rasuah?

Oleh kerana terlalu antikan konsert, mereka turut membantah konsert dari artis yang terlibat membantu pergerakkan hak asasi manusia sedunia seperti Avril Lavingne yang diketahui umum membantu kempen Amnesty International (AI), sebuah pergerakkan hak asasi manusia sedunia untuk membantu kesengsaraan rakyat di Darfur.

Negara “kafir” dan rasuah

Saya pernah menetap di sebuah negara “kafir” yang dinamakan Korea Selatan. Korea Selatan bukanlah asing bagi rakyat Malaysia. Produk-produk seperti Samsung, LG, Kia dan drama seperti “Winter Sonata” kuat dalam ingatan rakyat negara ini.

Dinegara salah satu gergasi ekonomi Asia ini, rasuah adalah satu perkara yang sensitif dan perlakunya akan mengambil tindakan yang ekstrim seperti membunuh diri jika dituduh atau disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Pada bulan Mei tahun ini, dunia dikejutkan apabila bekas presiden Korea Selatan, Roh Moo-Hyun membunuh diri akibat daripada tuduhan rasuah terhadap beliau.

Dalam nota yang ditinggalkan sebelum membunuh diri, Roh mengatakan: “I have no face to show to the people. I am sorry for disappointing you.” (“Saya tidak sanggup untuk berhadapan dengan rakyat. Maafkan saya kerana mengecewakan anda.”)

Lihatlah bagaimana pendirian orang Korea mengenai rasuah. Seorang bekas presiden membunuh diri oleh kerana malu untuk berhadapan dengan rakyat apabila dikaitkan dengan rasuah.

Di Malaysia, seorang yang pernah dijatuhkan oleh kerana dibuktikan mengamalkan rasuah masih boleh bertanding dalam pilihanraya dan disokong oleh perdana menteri. Begitulah kehebatan Malaysia yang tiada pada negara lain.

Tidak hairanlah Korea Selatan telah jauh meninggalkan Malaysia. Satu ketika dahulu, Malaysia berdiri lebih tinggi dari Korea Selatan. Kini, rakyat Malaysia terpaksa bergantung dengan produk-produk dari Korea Selatan untuk menjalani kehidupan seharian kerana lebih murah jika dibandingkan dengan produk-produk dari Jepun dan Amerika Syarikat.

Kerana rasuah dan penyelewengan, rakyat Malaysia tidak dapat menikmati perkhidmatan secara percuma dan terpaksa memikul beban hutang yang tinggi sebaik sahaja keluar dari universiti.

Kerana rasuah dan penyelewengan, rakyat Malaysia terpaksa membayar harga minyak yang tinggi walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak. Kerana harga minyak yang tinggi, rakyat Malaysia terpaksa dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun pendapatan mereka rendah.

Selagi pemikiran majoriti orang-orang Melayu yang beragama Islam tidak berubah terhadap rasuah, selagi itulah rasuah akan berleluasa dalam negara. Selagi itulah pemimpin yang menghadapi pertuduhan rasuah dapat terus bertanding dan menang dalam pilihanraya.

Apabila pemimpin yang pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah menang dalam pilihanraya, jangan marahlah jika beliau terus menerus mengamalkan budaya rasuah. Rakyat yang memilih harus dipersalahkan kerana tidak menolak budaya rasuah.

Jika amalan rasuah tidak dibendung dan terus dibiarkan, jangan terkejut jika Malaysia akan terus ketinggalan dan tidak mustahil akan menjadi negara yang terkebelakang.

Petroleum yang selama ini menjadi tunggak kepada kekuatan ekonomi negara akan habis juga satu hari nanti. Jangan apabila ianya menjadi kenyataan, kita akan menyesal kerana pada ketika wang negara masih banyak, kita tidak berbuat apa-apa untuk melawan rasuah


No comments:

Post a Comment